Sunday, December 27, 2015

FAKTOR SOSIAL

FAKTOR SOSIAL

Faktor seterusnya yang menyebabkan terdapat jurang pencapaian Matematik dalam kalangan murid pada masa kini adalah berkaitan dengan faktor sosial.  Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, sosial bermaksud segala yang berkaitan dengan masyarakat, persahabatan, pergaulan, dan aktiviti masa lapang. Faktor sosial boleh dilihat dari aspek sosio ekonomi, persekitaran, konsep kendiri dan komunikasi.

Status sosio ekonomi mempunyai hubung kait dengan pencapaian akademik dan proses pembelajaran. Hal ini telah banyak dibincangkan dalam kajian sosiologi, pendidikan dan ekonomi. Marzano (2003) mengatakan status sosio ekonomi keluarga telah dianggap sebagai satu peramal yang terbaik untuk pencapaian akademik oleh pengkaji pendidikan, pendidik dan masyarakat umum sejak beberapa dekad yang lalu. Rajah di bawah menunjukkan taburan populasi murid yang menerima Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada tahun 2011. Hasil mendapati bahawa sekolah lemah iaitu sekolah yang mendapat band 6 dan 7 adalah sekolah yang terdiri daripada 2/3 murid yang menerima KWAPM. Golongan yang menerima KWAPM ini merupakan golongan yang kurang berkemampuan dan mempunyai sosioekonomi yang rendah. Situasi ini menunjukkan bahawa pencapaian murid dipengaruhi oleh sosioekonomi mereka. Isu diutarakan dalam PPPM (2012) berkenaan status sosioekonomi terus memberi impak besar buat murid. Berdasarkan kajian-kajian lepas, indikator yang paling biasa digunakan untuk mengukur status sosioekonomi termasuk pendapatan ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa serta pekerjaan ibu bapa (Gonzalez, 2001).

Faktor sosioekonomi  termasuklah dari segi pendidikan ibu bapa, pendapatan ibu dan bapa serta peralatan dan kemudahan. Heng (2000) telah menjalankan satu kajian dengan tujuan untuk meninjau sejauh manakah faktor status sosioekonomi keluarga dan sikap pelajar-pelajar dapat mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Faktor status sosioekonomi telah diukur berdasarkan tahap pendidikan ibu bapa, tingkat pendapatan ibu dan bapa serta peralatan dan kemudahan yang disediakan di rumah untuk pembelajaran. Instrumen yang digunakan untuk faktor sikap telah diubahsuaikan oleh pengkaji dari Attitude Toward Economics dan Sandman Mathematics Attitude Inventory (Sandman, 1973). Keputusan Peperiksaan Menengah Rendah sampel telah dijadikan ukuran untuk pencapaian akademik. Sampel kajian adalah terdiri daripada murid Tingkatan 4 dari aliran sains dan sastera dari empat buah sekolah menengah di Melaka. Sampel datang dari pelbagai latar belakang etnik dan status sosioekonomi. Keputusan kajian mendapati ibu dan bapa yang berpendidikan tinggi mempunyai anak-anak yang mendapat pencapaian akademik yang tinggi juga. Ibu dan bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah pula, anak-anak mendapat pencapaian akademik yang rendah juga. Sampel-sampel yang berasal dari keluarga yang berpendapatan tinggi, menunjukkan tahap pencapaian akademik yang tinggi, manakala sampel-sampel dari keluarga yang berpendapatan rendah menunjukkan tahap pencapaian akademik yang rendah. Sampel-sampel yang berpencapaian akademik tinggi mempunyai banyak peralatan dan kemudahan di rumah yang dapat membantu mereka dalam proses pembelajaran. Sampel-sampel yang berpencapaian akademik rendah biasanya kurang mempunyai peralatan dan kemudahan di rumah yang dapat membantu mereka.

Tian (2006) telah menjalankan satu kajian untuk melihat kesan faktor latar belakang keluarga ke atas pencapaian Matematik. Sampel adalah terdiri daripada 1454 orang pelajar Gred 10, Gred 11 dan Gred 12 dari tiga puluh lima buah sekolah menengah di Kanada. Hasil kajian mendapati status sosioekonomi bapa memberi kesan yang positif dan signifikan ke atas pencapaian Matematik Gred 10, Gred 11 dan Gred 12 manakala status sosioekonomi ibu tidak. Status sosioekonomi bapa memberi kesan yang lebih kuat ke atas pencapaian Matematik berbanding dengan status sosioekonomi ibu pada peringkat sekolah menengah. Dari segi pendidikan ibu bapa, keputusan kajian mendapati kelayakan akademik ibu bapa pelajar mempunyai hubungan dengan keputusan TIMSS. Korelasi ibu bapa yang berkelayakan universiti dengan keputusan TIMSS ialah r = 0.35 manakala antara ibu bapa yang berkelayakan sekolah rendah ialah r = -0.59. Semakin tinggi kelayakan akademik ibu bapa semakin baik pencapaian akademik. Dapatan kajian ini dipersetujui oleh Yang (2003) yang menyatakan bahawa status sosioekonomi keluarga mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian akademik. Berdasarkan hasil kajiannya, didapati korelasi antara status sosioekonomi keluarga dengan pencapaian akademik individu adalah r = 0.30.

Isu hubungan kekeluargaan Kajian Yap (2000) juga bertujuan untuk melihat hubungan antara penglibatan ibu bapa dan status sosioekonomi dengan pencapaian akademik murid-murid Tingkatan 4. Sampel untuk kajian ini adalah terdiri daripada 100 orang murid perempuan Tingkatan 4. 40 orang sampel adalah berpencapaian akademik baik manakala 60 orang sampel lagi adalah mereka yang kurang memuaskan dalam pencapaian akademik. Semua sampel berasal dari sebuah sekolah yang sama di Daerah Petaling. Aspek pencapaian akademik telah dikelaskan berdasarkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sampel yang mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil dikategorikan sebagai sampel berpencapaian akademik baik. Sampel yang kurang memuaskan pencapaian akademik adalah mereka yang mendapat gred C dan D dalam PMR. Pekerjaan bapa sampel telah digunakan untuk menentukan status sosioekonomi sampel. Dapatan kajian yang Yap (2000) memperolehi adalah selaras dengan hasil Heng (2000) kerana didapati sampel-sampel yang mempunyai ibu bapa yang lebih melibatkan diri dalam pembelajaran mendapat pencapaian akademik yang lebih baik berbanding dengan mereka yang mempunyai ibu bapa kurang melibatkan diri. Faktor penglibatan ibu bapa adalah lebih signifikan daripada faktor status sosioekonomi dalam menentukan pencapaian akademik dalam kajian ini. Kajian Fluty (1997) yang melihat hubungan antara gaya keibubapaan penjaga tunggal dan pencapaian Matematik remaja juga memperoleh hasil kajian yang sama dengan Tian (2006). Kajian Fluty (1997) melibatkan 3000 remaja dari keluarga berpenjaga tunggal. Keputusan kajian mendapati remaja yang tinggal bersama dengan bapa mendapat pencapaian Matematik yang lebih baik berbanding dengan mereka yang tinggal bersama dengan ibu.

Namun, terdapat juga murid daripada keluarga sosio ekonomi yang rendah yang mampu meraih kejayaan dalam pelajaran. Hal ini dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti kesedaran, minat dan sikap. Murid mampu mencapai kejayaan meskipun ibu bapa tidak dapat menyediakan kemudahan pelajaran dan mereka mampu mencapai pencapaian yang baik meskipun keluarga daripada golongan berpendapatan rendah. Buktinya, murid bernama Nur Madihah yang lahir dari keluarga miskin mampu meraih 20’A dalam peperiksaan SPM. Kuncinya adalah usaha gigih dan semangat untuk menimba ilmu pengetahuan.

Aspek kedua yang dibincangkan berkaitan faktor sosial yang mempengaruhi jurang pencapaian matematik adalah dari segi persekitaran. Berdasarkan Teori Ekologikal Bronfenbrenner (1979, 1989, 1995), faktor biologi dan faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam perkembangan seseorang dari segi fizikal, psikologi dan kognitif. Teori ini menjelaskan bahawa perkembangan seseorang individu dipengaruhi oleh interaksi dua hala antara seseorang individu tersebut dengan sistem persekitaran dan antara satu sistem persekitaran dengan sistem persekitaran yang lain. Teori beliau mengandungi lima sistem persekitaran bermula dari interaksi secara langsung dengan agen persekitaran yang paling asas dan rapat seperti keluarga, ibu bapa hingga ke agen persekitaran yang lebih luas konteksnya seperti jiran dan media massa (Santrock, 1998; Berk, 2000). Aspek persekitaran adalah termasuk rakan sebaya, pergaulan keluarga, dan guru.

Rakan sebaya ialah sahabat yang mempunyai umur, latar belakang dan minat yang lebih kurang sama. Pengaruh rakan sebaya boleh dilihat melalui pergaulan sihat dan pergaulan tidak sihat. Pergaulan yang sihat dengan rakan sebaya boleh memberi manfaat seperti merapatkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain, memudahkan perbincangan dalam kalangan murid melalui kumpulan yang diwujudkan serta dapat membantu antara satu sama lain bagi meningkatkan kefahaman dalam mempelajari matematik. Hal ini akan dapat meningkatkan pencapaian mata pelajaran matematik. Sebaliknya, jika murid terjebak dengan pergaulan yang tidak sihat maka murid akan lalai dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, membuang masa dan terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik. Sebagai impaknya, pencapaian matematik murid merosot. Pergaulan keluarga yang sihat memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran sosial yang positif. Sokongan, dorongan dan keprihatinan dalam ahli keluarga boleh mendorong seseorang murid untuk lebih bermotivasi dalam mencapai kejayaan. Sebaliknya, sekiranya pergaulan yang tidak sihat diamalkan dalam keluarga maka murid kurang bermotivasi untuk belajar. Hal ini menyebabkan pencapaian akademik murid merosot. Menurut kajian Azizi Yahya, Halimah Ma’alip dan Mohamad Hasan Omar (2011) perasaan tidak bahagia bersama keluarga menyebabkan pencapaian murid merosot. Murid kekurangan motivasi untuk belajar dan tidak dapat memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Guru juga memainkan  peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang boleh meningkatkan pencapaian matematik seseorang pelajar. Sikap dan keprihatinan guru bagi mewujudkan suasana hubungan mesra antara guru dan murid perlu diwujudkan di samping cuba mengawal emosi murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Guru juga perlu menjamin kelancaran dan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan mewujudkan suasana pembelajaran berkesan.

Aspek ketiga dalam faktor sosial adalah konsep kendiri. Konsep kendiri yang dikategorikan kepada akademik dan bukan akademik dapat memberi kesan ke atas pencapaian akademik. Seseorang akan menggunakan konsep kendirinya apabila dia meramal sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam sesuatu perkara. Konsep kendiri yang positif dapat mempertingkatkan pencapaian akademik. Konsep kendiri adalah persepsi seseorang tentang dirinya. Persepsi ini terbentuk melalui pengalamannya dengan persekitaran dan dipengaruhi terutamanya oleh peneguhan persekitaran (reinforcement environmental) dan orang yang signifikan dalam persekitaran. Konsep kendiri akademik adalah persepsi keseluruhan seseorang individu dalam konteks akademik. Konsep kendiri akademik didefinisikan sebagai penilaian seseorang individu terhadap kebolehannya untuk mempelajari dalam konteks sekolah berbanding dengan rakan-rakan sebaya lain di sekolah. Murid yang berasa positif tentang dirinya dalam kehidupan secara keseluruhan akan lebih berkompeten dalam domain yang spesifik seperti akademik. Seseorang individu yang mempunyai persepsi positif dalam aspek akademik dapat meningkatkan motivasinya untuk melengkapkan tugasan akademik. Aspek motivasi yang tinggi akan membolehkan individu itu memperoleh pencapaian akademik yang baik. Model kesan dua hala yang diuji menggunakan sampel pelajar sekolah menengah juga telah dijalankan oleh Van Damme et al. (2004). Kajian longitudinal ini mengambil masa sepuluh tahun. Sampel kajian terdiri daripada 6411 orang pelajar dari 59 sekolah menengah di Belgium. Hasil kajian menyokong hipotesis bahawa konsep kendiri akademik dan pencapaian akademik berhubung secara signifikan. Analisis regresi menunjukkan bahawa konsep kendiri akademik pada akhir Gred 1 merupakan peramal kepada pencapaian akademik yang seterusnya tetapi kekuatan ramalan ini adalah lemah. Peramal yang lebih kuat kepada pencapaian akademik ialah tahap pencapaian akademik sebelumnya dan juga tahap kepintaran seseorang. Kajian ini juga melaporkan bahawa pencapaian akademik dapat meramal konsep kendiri yang seterusnya dengan signifikan walaupun pencapaian akademik bukan merupakan peramal yang utama. Peramal utama untuk konsep kendiri akademik ialah konsep kendiri akademik sebelumnya. Penutup Kesimpulannya, warga pendidik perlulah berusaha untuk mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pelajar supaya wujudnya keseimbangan dalam prestasi akademik pelajar.

Aspek keempat yang menjadi salah satu punca dalam perbezaan jurang pencapaian matematik dari segi sosial adalah komunikasi dan bahasa. Komunikasi dalam konteks pendidikan merujuk kepada interaksi sosial di antara manusia melalui aktiviti pemindahan maklumat secara lisan atau bukan lisan. Manakala bahasa pula merujuk kepada perkataan yang ditulis atau diucap dan disambungkan menjadi frasa. Komunikasi dan bahasa memainkan peranan penting bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Tahap kefahaman murid akan meningkat sekiranya murid memahami setiap isi pembelajaran yang disampaika menerusi bahasa yang lebih difahami. Sekiranya murid tidak memahami bahasa yang disampaikan oleh guru, maka proses pemerolehan input pembelajaran tidak dapat diproses sebaiknya oleh murid itu sendiri. Hal ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan PPSMI. Murid yang tidak bersedia dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains menghadapi kesukaran dalam mentafsir perkataan yang diberi sebaiknya. Hal ini menyebabkan pencapaian murid terjejas. Keputusan pemansuhan PPSMI dibuat berdasarkan kajian yang menyeluruh terhadap keberkesanan pelaksanaannya di peringkat sekolah. Hal ini menunjukkan bahawa komunikasi dan bahasa yang mudah difahami dapat meningkatkan pencapaian matematik murid. 

Isu yang diberi penekanan oleh kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia perlulah dititik beratkan supaya faktor-faktor berlakunya jurang perbezaan pencapaian pelajar dari segi sosial ini dapat diatasi. Sistem pendidikan negara kita mengalami perubahan kepada pendekatan yang lebih bertepatan dengan keperluan setempat. Perubahan ini memberi kesan langsung terhadap perkembangan pendidikan yang selaras dengan era globalisasi yang melibatkan semua peringkat sekolah seperti sekolah rendah, menengah dan juga institusi tinggi. Apa yang pasti, jurang pendidikan masih berlaku dan akan dapat dikurangkan dengan penyediaan asas secara berterusan dan pada masa yang sama, kementerian perlu merancang untuk melonjak sistem pendidikan ketahap yang lebih tinggi supaya masalah ini dapat diatasi. Hal ini demikan kerana kemajuan sesebuah negara sama ada dari segi teknologi ataupun ekonomi amat bergantung kepada generasi muda yang mempunyai keseimbangan dari aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi.

No comments:

Post a Comment