Sunday, December 27, 2015

RUJUKAN

Bhasah Abu Bakar.(2009). Pencapaian dan penguasaan konsep dalam Matematik peringkat SPM. Diperoleh pada Oktober 12, 2015, daripada http://bhasahabubakar.blogspot.com/ 2009/05/pencapaian-dan-penguasaan-konsep-dalam.html

Bicara Akademia: Jurang Akademik. Diperoleh pada Oktober 10, 2015 daripada http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/pendidikan/5271-bicara-akademia-jurang- akademik.html 

Fluty, D. (1997). Single parenting in relation to adolescents’ achievement scores Research Center for Family and Children, 6, 4 -8.

Gonzalez, V. (2001). The role of socioeconomic and sociocultural factors in language- minority children’s development: An ecological research view.

Heng, G. W. (2000). Pengaruh status sosioekonomi keluarga dan sikap pelajar terhadap pencapaian akademik: Satu kajian di Melaka. Tesis sarjana yang tidak diterbitkan, Universiti Malaya.

KPM Laksanakan Kajian Rapatkan Jurang Bandar dan Luar Bandar. Diperoleh daripada
     pada Oktober 11, 2015.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (2012). Diperoleh pada Oktober 12, 2015 daripada http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-ExecSummary- BM.pdf

Lim Chap Sam (2003). Cultural Differences and Mathematics Learning in Malaysia. Diperoleh pada Oktober 10, 2015 daripada  http://www.researchgate.net/publication/241115078_Cultural_Differences_and_Mathematics_Learning_in_Malaysia

Marzano, R. J. (2003). What works in schools: Translating research into action. Association for supervision and Curriculum Development, USA.

Yap, Y. F. (2000). Hubungan antara penglibatan ibu bapa dan status sosioekonomi dengan pencapaian akademik. Tesis sarjana yang tidak diterbitkan, Universiti Malaya. Yang, Y. (2003). Dimensions of socio-economic status and their relationship

Rohana Man (1999). Bukan Kerana IQ, Tapi Sikap. Utusan Malaysia.

Siti Kalijah Nor @ Md Nor, Siti Norhayati Mohd & Naimatul Hasanah Razekin (2007). Perbezaan Pencapaian Matematik : SK dan SJKC. Diperoleh pada Oktober 10, 2015 daripada http://www.slideshare.net/kizzatiey/perbezaan-pencapaian-matematik-sk-sjkc

Tian, M. (2006). A quantile regression analysis of family background factor effects on Mathematical achievement. Journal of Data Science, 4, 461 -478.

Van Damme, J., Opdenekker, M-C., De Fraine, B., & Mertens, W. (2004). Academic self- concept and academic achievement: Cause and effect.

Yang, Y. (2003). Dimensions of socio-economic status and their relationship to Mathematics and Science achievement at individual and collective levels. Scandinavian Journal of Educational Research, 47(1), 21-41.

Zainudin Abu Bakar, Meor Ibrahim Kamaruddin & Tan May Yang (2009). Pengaruh Sikap,             Minat, Pengajaran Guru, Dan Rakan Sebaya Terhadap Pencapaian Matematik Pelajar.         Tesis Sarjana Universiti Teknologi Malaysia.


Zulhaimy Ismail (2010), Menyingkap Sikap Pelajar Terhadap Subjek Matematik Di Sekolah Menengah Kebangasaan. Diperoleh pada Oktober 5, 2015 daripada http://eprints.utm.my/10436/1/Bab9.pdf

RUMUSAN

Pendidikan merupakan suatu alat yang penting dalam kehidupan seseorang. Jurang pencapaian akan dapat dikurangkan sekiranya semua pihak mengambil serius berkaitan empat faktor yang telah dibincangkan iaitu faktor lokaliti, gender, sosial dan budaya. Masa depan generasi muda pada hari ini bergantung kepada strategi dan tindakan yang dimainkan oleh sesetengah pihak bermula daripada pihak atasan sehingga ke akar umbi. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani isu jurang pencapaian murid secara menyeluruh. 

FAKTOR BUDAYA

FAKTOR BUDAYA

Mohd Salleh (1997), menyatakan bahawa budaya ialah kelakuan manusia berdasarkan kelompok-kelompok tertentu yang merangkumi dari aspek pemikiran, sikap, kepercayaan dan tindakan kebiasaan yang mengambarkan cara hidup mereka. Menurut Mok (2002), budaya merupakan apa yang terkandung dalam diri individu hasil dari pengalaman interaksi sosial dengan masyarakat sekeliling. Manakala kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat mendefinisikan budaya sebagai cara berfikir dan kelakuan.

Muhyiddin Yassin (2010) menagtakan tanpa pemimpin yang mempunyai prestasi tinggi, pelajar tidak akan cemerlang dan kualiti sekolah akan menurun. Untuk itu, dalam membina kecemerlangan, pemimpin sekolah mestilah mengenalpasti secara spesifik cabaran yang perlu ditangani, mempunyai fokus yang jelas mengenai hasil dan prestasi yang ingin dicapai dan mengamalkan secara berterusan budaya ingin cemerlang.

Menurut Hopkins (2005), kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang kepada pencapaian sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan harus memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000).

Secara keseluruhan, trend pencapaian murid mengikut jenis sekolah adalah  positif kerana jurang antara jenis sekolah semakin kecil. Pada peringkat rendah, sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) masih ketinggalan berbanding sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah kebangsaan (SK), kira-kira 4 mata peratus pada 2011. Walau bagaimanapun, jurang ini berkurangan kepada separuh dalam tempoh lima tahun yang lepas. Perbezaan prestasi antara SK dengan SJKC adalah kecil, iaitu 0.3 mata peratus pada 2011.

Sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan mewujudkan satu lagi jurang ekuiti kerana mempunyai skor kira-kira 6% lebih tinggi daripada sekolah awam dalam SPM. Sebahagian daripada jurang pencapaian ini mungkin disebabkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, sementara sebahagian besarnya disebabkan kecenderungan sekolah menerima murid yang berkemampuan dari segi ekonomi. Walaupun enrolmen di sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan hanya menyumbang 1% daripada jumlah murid pada masa ini, peratusan enrolmen semakin meningkat kerana peningkatan purata tahap pendapatan isi rumah.

SJKC  dilhat mempunyai pencapaian yang tinggi dalam mata pelajaran Matematik berbanding SK  dan SJKT. Data berikut menunjukkan peratus murid lulus dalam peperiksaan UPSR dari tahun 1991 hingga 2001. Sejak tahun 1991, peratus lulus di SJKC melebihi 80 peratus berbanding SK dan SJKT yang masih belum mencapai 80 peratus lulus sehingga tahun 2001.

Situasi di atas disokong oleh tesis yang dilakukan oleh Aripin Yuddin (2008) yang bertajuk Perbandingan Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Dan Sikap Pengajaran Guru Antara Sekolah Kebangsaan Dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: Kajian Kes Di Tawau, Sabah. Dalam tesis ini, kajian dijalankan di 10 buah di daerah Tawau dengan pembahagian lima buah SK dan lima buah SJKC. Berdasarkan hasil kajian untuk prestasi UPSR tahun 2003 bagi 10 buah sekolah rendah di Sabah bagi subjek Matematik adalah seperti berikut:

Selain kepimpinan pentadbiran, kualiti guru merupakan penentu di peringkat sekolah yang paling penting bagi keberhasilan  murid. Kajian ulung yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan 1990-an menunjukkan bahawa apabila dua murid berumur lapan tahun dengan prestasi sederhana diajar oleh guru yang berbeza prestasi – seorang berprestasi tinggi, dan seorang lagi berprestasi rendah – prestasi pencapaian akademik murid tersebut berbeza sebanyak lebih daripada 50 poin persentil dalam tempoh tiga tahun. Dapatan yang sama juga diperoleh dalam kajian yang dijalankan di Dallas dan Boston (Amerika Syarikat) serta di England.

Pada 2011, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian PengajianTinggi telah menjalankan kajian kualitatif  tentang pengajaran guru. Daripada pemerhatian terhadap 125 guru di 41 sekolah di seluruh Malaysia, didapati hanya 12%  daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, iaitu mengaplikasi banyak amalan terbaik pedagogi, manakala 38% lagi mencapai standard yang memuaskan. Sebaliknya, 50% daripada pengajaran yang dicerap dalam kajian ini tidak disampaikan dengan memuaskan.

Pengajaran tidak melibatkan murid sepenuhnya apabila guru lebih bergantung pada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran. Guru lebih memberikan tumpuan kepada usaha memastikan murid memahami kandungan asas mata pelajaran bagi tujuan pentaksiran sumatif daripada menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi. Sebagai contoh, murid lebih berkemungkinan diuji keupayaan mengingati fakta (70% daripada semua pemerhatian pengajaran) berbanding menganalisis dan mentafsir data (18%), atau mensintesis maklumat (15%).

Noor Erma Binti Abu dan Leong Kwan Eu (2014) menyatakan terdapat hubungan yang jelas antara aspek pengajaran itu dengan pencapaian Matematik Tambahan murid. Dengan lain perkataan murid akan berpendapat bahawa kaedah pengajaran guru akan mempengaruhi secara langsung pencapaian matematik mereka. Kepelbagaian pengajaran guru dan kaedah pengajaran merupakan beberapa contoh yang berkaitan dengan pengaruh pengajaran guru.
            
Lim Chap Sam (2003) dalam Cultural Differences and Mathematics Learning in Malaysia menggariskan beberapa pemerhatian PdP di SJKC dan SK. Antaranya aspek penerangan konsep dan kemahiran dan aktiviti pengukuhan. Di SJKC, 64 peratus daripada proses PdP diperuntukkan untuk penerangan konsep dan kemahiran berbanding 43 peratus di SK. Kaedah pengukuhan yang digunakan di SJKC ialah pertandingan kumpulan dan menyelesaikan masalah di papan hitam. Sebahagian besar murid mengambil bahagian dan sebahagian lain menyemak jawapan yang diberikan rakan mereka. Berbeza di SK, murid diberi pengukuhan melalui latihan secara individu dan guru akan berjalan daripada satu murid ke satu murid lain.

Pengaruh minat yang tinggi terhadap mata pelajaran tertentu juga mempengaruhi tahap pencapaian pelajar. Dalam kajian yang sama Quek (2006) juga mendapati bahawa minat mempunyai pengaruh yang positif kepada pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik. Ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan usaha yang dilakukan oleh pelajar semasa mempelajari mata pelajaran matematik tersebut. Pelajar yang mempunyai minat yang tinggi akan sentiasa berusaha dan rajin meningkatkan diri. Dengan erti kata yang lain, kepuasan mereka akan hanya dapat dicapai apabila mereka mempelajari mata pelajaran matematik dan memahaminya.

Abu Bakar (1994) pula menyatakan seseorang yang berminat dalam perkara yang dipelajari lazimnya akan menunjukkan kesungguhan dan pencapaian yang tinggi. Oleh itu minat perlu ditanamkan dalam diri murid. Keseronokan belajar akan meningkatkan minat dan ia boleh dipertingkatkan lagi dengan penyertaan dan dorongan ibubapa, guru, dan rakan-rakan di dalam proses pembelajaran. 

Minat yang tinggi akan mempengaruhi sikap sesorang terhadap sesuatu. Rahil (1995) menyatakan sikap ialah sebahagian daripada personaliti  individu yang dipengaruhi oleh tingkah laku yang ada hubungan dengannya. Menurut Azrul (1988), salah satu kejayaan pelajar dalam bidang pembelajarannya ialah pembentukan sikap belajar, di mana sikap tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tanggungjawab untuk belajar memahami dan menyelesaikan tugasan yang diberikan guru. Seseorang murid yang bertanggungjawab terhadap pelajarannya akan sentiasa menyiapkan kerja atau tugasan yang diberi oleh guru, sentiasa hadir ke kelas, bersemangat untuk belajar dan sentiasa berusaha dalam pelajarannya (Kamaruddin, 1997).

Zainudin Abu Bakar, Meor Ibrahim Kamaruddin dan Tan May Yang (2009) dalam kajian mereka Pengaruh Sikap, Minat, Pengajaran Guru, Dan Rakan Sebaya Terhadap Pencapaian Matematik Pelajar mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara minat dan sikap dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran matematik. Ini menunjukkan bahawa sekiranya minat dan sikap murid terhadap matematik adalah tinggi maka pencapaian mereka juga akan tinggi. Begitu juga sebaliknya jika sikap murid terhadap matematik rendah maka pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut juga akan rendah.

Kajian oleh Zulhaimy Ismail (2010) mendapati terdapat perbezaan sikap yang ketara antara pelajar SMK berdasarkan bangsa. Hasil kajian mendapati pelajar Cina dan India lebih bersikap positif berbanding dengan pelajar Melayu dan lain-lain bangsa. Chiam Keng Heng berkata kecerdasan otak (IQ) pelajar Melayu setara dengan pelajar bangsa lain, namun mereka kurang cemerlang kerana sikap. Sikap yang akan membezakan pencapaian antara murid.


FAKTOR SOSIAL

FAKTOR SOSIAL

Faktor seterusnya yang menyebabkan terdapat jurang pencapaian Matematik dalam kalangan murid pada masa kini adalah berkaitan dengan faktor sosial.  Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, sosial bermaksud segala yang berkaitan dengan masyarakat, persahabatan, pergaulan, dan aktiviti masa lapang. Faktor sosial boleh dilihat dari aspek sosio ekonomi, persekitaran, konsep kendiri dan komunikasi.

Status sosio ekonomi mempunyai hubung kait dengan pencapaian akademik dan proses pembelajaran. Hal ini telah banyak dibincangkan dalam kajian sosiologi, pendidikan dan ekonomi. Marzano (2003) mengatakan status sosio ekonomi keluarga telah dianggap sebagai satu peramal yang terbaik untuk pencapaian akademik oleh pengkaji pendidikan, pendidik dan masyarakat umum sejak beberapa dekad yang lalu. Rajah di bawah menunjukkan taburan populasi murid yang menerima Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada tahun 2011. Hasil mendapati bahawa sekolah lemah iaitu sekolah yang mendapat band 6 dan 7 adalah sekolah yang terdiri daripada 2/3 murid yang menerima KWAPM. Golongan yang menerima KWAPM ini merupakan golongan yang kurang berkemampuan dan mempunyai sosioekonomi yang rendah. Situasi ini menunjukkan bahawa pencapaian murid dipengaruhi oleh sosioekonomi mereka. Isu diutarakan dalam PPPM (2012) berkenaan status sosioekonomi terus memberi impak besar buat murid. Berdasarkan kajian-kajian lepas, indikator yang paling biasa digunakan untuk mengukur status sosioekonomi termasuk pendapatan ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa serta pekerjaan ibu bapa (Gonzalez, 2001).

Faktor sosioekonomi  termasuklah dari segi pendidikan ibu bapa, pendapatan ibu dan bapa serta peralatan dan kemudahan. Heng (2000) telah menjalankan satu kajian dengan tujuan untuk meninjau sejauh manakah faktor status sosioekonomi keluarga dan sikap pelajar-pelajar dapat mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Faktor status sosioekonomi telah diukur berdasarkan tahap pendidikan ibu bapa, tingkat pendapatan ibu dan bapa serta peralatan dan kemudahan yang disediakan di rumah untuk pembelajaran. Instrumen yang digunakan untuk faktor sikap telah diubahsuaikan oleh pengkaji dari Attitude Toward Economics dan Sandman Mathematics Attitude Inventory (Sandman, 1973). Keputusan Peperiksaan Menengah Rendah sampel telah dijadikan ukuran untuk pencapaian akademik. Sampel kajian adalah terdiri daripada murid Tingkatan 4 dari aliran sains dan sastera dari empat buah sekolah menengah di Melaka. Sampel datang dari pelbagai latar belakang etnik dan status sosioekonomi. Keputusan kajian mendapati ibu dan bapa yang berpendidikan tinggi mempunyai anak-anak yang mendapat pencapaian akademik yang tinggi juga. Ibu dan bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah pula, anak-anak mendapat pencapaian akademik yang rendah juga. Sampel-sampel yang berasal dari keluarga yang berpendapatan tinggi, menunjukkan tahap pencapaian akademik yang tinggi, manakala sampel-sampel dari keluarga yang berpendapatan rendah menunjukkan tahap pencapaian akademik yang rendah. Sampel-sampel yang berpencapaian akademik tinggi mempunyai banyak peralatan dan kemudahan di rumah yang dapat membantu mereka dalam proses pembelajaran. Sampel-sampel yang berpencapaian akademik rendah biasanya kurang mempunyai peralatan dan kemudahan di rumah yang dapat membantu mereka.

Tian (2006) telah menjalankan satu kajian untuk melihat kesan faktor latar belakang keluarga ke atas pencapaian Matematik. Sampel adalah terdiri daripada 1454 orang pelajar Gred 10, Gred 11 dan Gred 12 dari tiga puluh lima buah sekolah menengah di Kanada. Hasil kajian mendapati status sosioekonomi bapa memberi kesan yang positif dan signifikan ke atas pencapaian Matematik Gred 10, Gred 11 dan Gred 12 manakala status sosioekonomi ibu tidak. Status sosioekonomi bapa memberi kesan yang lebih kuat ke atas pencapaian Matematik berbanding dengan status sosioekonomi ibu pada peringkat sekolah menengah. Dari segi pendidikan ibu bapa, keputusan kajian mendapati kelayakan akademik ibu bapa pelajar mempunyai hubungan dengan keputusan TIMSS. Korelasi ibu bapa yang berkelayakan universiti dengan keputusan TIMSS ialah r = 0.35 manakala antara ibu bapa yang berkelayakan sekolah rendah ialah r = -0.59. Semakin tinggi kelayakan akademik ibu bapa semakin baik pencapaian akademik. Dapatan kajian ini dipersetujui oleh Yang (2003) yang menyatakan bahawa status sosioekonomi keluarga mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian akademik. Berdasarkan hasil kajiannya, didapati korelasi antara status sosioekonomi keluarga dengan pencapaian akademik individu adalah r = 0.30.

Isu hubungan kekeluargaan Kajian Yap (2000) juga bertujuan untuk melihat hubungan antara penglibatan ibu bapa dan status sosioekonomi dengan pencapaian akademik murid-murid Tingkatan 4. Sampel untuk kajian ini adalah terdiri daripada 100 orang murid perempuan Tingkatan 4. 40 orang sampel adalah berpencapaian akademik baik manakala 60 orang sampel lagi adalah mereka yang kurang memuaskan dalam pencapaian akademik. Semua sampel berasal dari sebuah sekolah yang sama di Daerah Petaling. Aspek pencapaian akademik telah dikelaskan berdasarkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sampel yang mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil dikategorikan sebagai sampel berpencapaian akademik baik. Sampel yang kurang memuaskan pencapaian akademik adalah mereka yang mendapat gred C dan D dalam PMR. Pekerjaan bapa sampel telah digunakan untuk menentukan status sosioekonomi sampel. Dapatan kajian yang Yap (2000) memperolehi adalah selaras dengan hasil Heng (2000) kerana didapati sampel-sampel yang mempunyai ibu bapa yang lebih melibatkan diri dalam pembelajaran mendapat pencapaian akademik yang lebih baik berbanding dengan mereka yang mempunyai ibu bapa kurang melibatkan diri. Faktor penglibatan ibu bapa adalah lebih signifikan daripada faktor status sosioekonomi dalam menentukan pencapaian akademik dalam kajian ini. Kajian Fluty (1997) yang melihat hubungan antara gaya keibubapaan penjaga tunggal dan pencapaian Matematik remaja juga memperoleh hasil kajian yang sama dengan Tian (2006). Kajian Fluty (1997) melibatkan 3000 remaja dari keluarga berpenjaga tunggal. Keputusan kajian mendapati remaja yang tinggal bersama dengan bapa mendapat pencapaian Matematik yang lebih baik berbanding dengan mereka yang tinggal bersama dengan ibu.

Namun, terdapat juga murid daripada keluarga sosio ekonomi yang rendah yang mampu meraih kejayaan dalam pelajaran. Hal ini dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti kesedaran, minat dan sikap. Murid mampu mencapai kejayaan meskipun ibu bapa tidak dapat menyediakan kemudahan pelajaran dan mereka mampu mencapai pencapaian yang baik meskipun keluarga daripada golongan berpendapatan rendah. Buktinya, murid bernama Nur Madihah yang lahir dari keluarga miskin mampu meraih 20’A dalam peperiksaan SPM. Kuncinya adalah usaha gigih dan semangat untuk menimba ilmu pengetahuan.

Aspek kedua yang dibincangkan berkaitan faktor sosial yang mempengaruhi jurang pencapaian matematik adalah dari segi persekitaran. Berdasarkan Teori Ekologikal Bronfenbrenner (1979, 1989, 1995), faktor biologi dan faktor persekitaran memainkan peranan yang penting dalam perkembangan seseorang dari segi fizikal, psikologi dan kognitif. Teori ini menjelaskan bahawa perkembangan seseorang individu dipengaruhi oleh interaksi dua hala antara seseorang individu tersebut dengan sistem persekitaran dan antara satu sistem persekitaran dengan sistem persekitaran yang lain. Teori beliau mengandungi lima sistem persekitaran bermula dari interaksi secara langsung dengan agen persekitaran yang paling asas dan rapat seperti keluarga, ibu bapa hingga ke agen persekitaran yang lebih luas konteksnya seperti jiran dan media massa (Santrock, 1998; Berk, 2000). Aspek persekitaran adalah termasuk rakan sebaya, pergaulan keluarga, dan guru.

Rakan sebaya ialah sahabat yang mempunyai umur, latar belakang dan minat yang lebih kurang sama. Pengaruh rakan sebaya boleh dilihat melalui pergaulan sihat dan pergaulan tidak sihat. Pergaulan yang sihat dengan rakan sebaya boleh memberi manfaat seperti merapatkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain, memudahkan perbincangan dalam kalangan murid melalui kumpulan yang diwujudkan serta dapat membantu antara satu sama lain bagi meningkatkan kefahaman dalam mempelajari matematik. Hal ini akan dapat meningkatkan pencapaian mata pelajaran matematik. Sebaliknya, jika murid terjebak dengan pergaulan yang tidak sihat maka murid akan lalai dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, membuang masa dan terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik. Sebagai impaknya, pencapaian matematik murid merosot. Pergaulan keluarga yang sihat memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran sosial yang positif. Sokongan, dorongan dan keprihatinan dalam ahli keluarga boleh mendorong seseorang murid untuk lebih bermotivasi dalam mencapai kejayaan. Sebaliknya, sekiranya pergaulan yang tidak sihat diamalkan dalam keluarga maka murid kurang bermotivasi untuk belajar. Hal ini menyebabkan pencapaian akademik murid merosot. Menurut kajian Azizi Yahya, Halimah Ma’alip dan Mohamad Hasan Omar (2011) perasaan tidak bahagia bersama keluarga menyebabkan pencapaian murid merosot. Murid kekurangan motivasi untuk belajar dan tidak dapat memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Guru juga memainkan  peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang boleh meningkatkan pencapaian matematik seseorang pelajar. Sikap dan keprihatinan guru bagi mewujudkan suasana hubungan mesra antara guru dan murid perlu diwujudkan di samping cuba mengawal emosi murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Guru juga perlu menjamin kelancaran dan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan mewujudkan suasana pembelajaran berkesan.

Aspek ketiga dalam faktor sosial adalah konsep kendiri. Konsep kendiri yang dikategorikan kepada akademik dan bukan akademik dapat memberi kesan ke atas pencapaian akademik. Seseorang akan menggunakan konsep kendirinya apabila dia meramal sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam sesuatu perkara. Konsep kendiri yang positif dapat mempertingkatkan pencapaian akademik. Konsep kendiri adalah persepsi seseorang tentang dirinya. Persepsi ini terbentuk melalui pengalamannya dengan persekitaran dan dipengaruhi terutamanya oleh peneguhan persekitaran (reinforcement environmental) dan orang yang signifikan dalam persekitaran. Konsep kendiri akademik adalah persepsi keseluruhan seseorang individu dalam konteks akademik. Konsep kendiri akademik didefinisikan sebagai penilaian seseorang individu terhadap kebolehannya untuk mempelajari dalam konteks sekolah berbanding dengan rakan-rakan sebaya lain di sekolah. Murid yang berasa positif tentang dirinya dalam kehidupan secara keseluruhan akan lebih berkompeten dalam domain yang spesifik seperti akademik. Seseorang individu yang mempunyai persepsi positif dalam aspek akademik dapat meningkatkan motivasinya untuk melengkapkan tugasan akademik. Aspek motivasi yang tinggi akan membolehkan individu itu memperoleh pencapaian akademik yang baik. Model kesan dua hala yang diuji menggunakan sampel pelajar sekolah menengah juga telah dijalankan oleh Van Damme et al. (2004). Kajian longitudinal ini mengambil masa sepuluh tahun. Sampel kajian terdiri daripada 6411 orang pelajar dari 59 sekolah menengah di Belgium. Hasil kajian menyokong hipotesis bahawa konsep kendiri akademik dan pencapaian akademik berhubung secara signifikan. Analisis regresi menunjukkan bahawa konsep kendiri akademik pada akhir Gred 1 merupakan peramal kepada pencapaian akademik yang seterusnya tetapi kekuatan ramalan ini adalah lemah. Peramal yang lebih kuat kepada pencapaian akademik ialah tahap pencapaian akademik sebelumnya dan juga tahap kepintaran seseorang. Kajian ini juga melaporkan bahawa pencapaian akademik dapat meramal konsep kendiri yang seterusnya dengan signifikan walaupun pencapaian akademik bukan merupakan peramal yang utama. Peramal utama untuk konsep kendiri akademik ialah konsep kendiri akademik sebelumnya. Penutup Kesimpulannya, warga pendidik perlulah berusaha untuk mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pelajar supaya wujudnya keseimbangan dalam prestasi akademik pelajar.

Aspek keempat yang menjadi salah satu punca dalam perbezaan jurang pencapaian matematik dari segi sosial adalah komunikasi dan bahasa. Komunikasi dalam konteks pendidikan merujuk kepada interaksi sosial di antara manusia melalui aktiviti pemindahan maklumat secara lisan atau bukan lisan. Manakala bahasa pula merujuk kepada perkataan yang ditulis atau diucap dan disambungkan menjadi frasa. Komunikasi dan bahasa memainkan peranan penting bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Tahap kefahaman murid akan meningkat sekiranya murid memahami setiap isi pembelajaran yang disampaika menerusi bahasa yang lebih difahami. Sekiranya murid tidak memahami bahasa yang disampaikan oleh guru, maka proses pemerolehan input pembelajaran tidak dapat diproses sebaiknya oleh murid itu sendiri. Hal ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan PPSMI. Murid yang tidak bersedia dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains menghadapi kesukaran dalam mentafsir perkataan yang diberi sebaiknya. Hal ini menyebabkan pencapaian murid terjejas. Keputusan pemansuhan PPSMI dibuat berdasarkan kajian yang menyeluruh terhadap keberkesanan pelaksanaannya di peringkat sekolah. Hal ini menunjukkan bahawa komunikasi dan bahasa yang mudah difahami dapat meningkatkan pencapaian matematik murid. 

Isu yang diberi penekanan oleh kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia perlulah dititik beratkan supaya faktor-faktor berlakunya jurang perbezaan pencapaian pelajar dari segi sosial ini dapat diatasi. Sistem pendidikan negara kita mengalami perubahan kepada pendekatan yang lebih bertepatan dengan keperluan setempat. Perubahan ini memberi kesan langsung terhadap perkembangan pendidikan yang selaras dengan era globalisasi yang melibatkan semua peringkat sekolah seperti sekolah rendah, menengah dan juga institusi tinggi. Apa yang pasti, jurang pendidikan masih berlaku dan akan dapat dikurangkan dengan penyediaan asas secara berterusan dan pada masa yang sama, kementerian perlu merancang untuk melonjak sistem pendidikan ketahap yang lebih tinggi supaya masalah ini dapat diatasi. Hal ini demikan kerana kemajuan sesebuah negara sama ada dari segi teknologi ataupun ekonomi amat bergantung kepada generasi muda yang mempunyai keseimbangan dari aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi.

FAKTOR GENDER

FAKTOR GENDER

Gender merujuk kepada jantina murid iaitu lelaki dan perempuan. Perbezaan pencapaian antara jantina mula diberi perhatian bermula pada 1970-an lagi apabila pencapaian rendah murid perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1990-an apabila pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan.  Jurang perbezaan pencapaian antara murid lelaki dan perempuan berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh.

Keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan 1996 hingga 2007 menunjukkan secara keseluruhannya murid perempuan mempunyai pencapaian lebih baik berbanding murid lelaki dalam hampir semua mata pelajaran bagi peringkat UPSR dan PMR. Bagi SPM, murid perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Paling ketara, jurang perbezaan pencapaian akademik murid lelaki dan perempuan di peringkat persekolahan memberi impak kepada enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia terbukti apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan di IPTA seluruh negara secara umumnya melebihi 70 peratus kebelakangan ini. Prestasi akademik murid lelaki yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menafikan peluang mereka melanjutkan pengajian ke IPTA. Fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

Satu kajian telah dijalankan oleh Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Zalizan Mohd Jelas bersama Nor Aniza Ahmad serta Manisah Mohd Ali mengenai Trend Pencapaian Murid Lelaki. Hasil kajian menunjukkan jenis persekolahan dan gaya pembelajaran antara faktor utama memberi kesan terhadap perbezaan pencapaian di antara jantina.  Beliau dapati murid perempuan mencapai keputusan lebih baik berbanding dengan lelaki di sekolah satu jantina manakala prestasi akademik murid lelaki di sekolah bercampur pula lebih baik daripada sekolah satu jantina.

Dapatan kajian itu turut membuktikan perbezaan ketara gaya pembelajaran antara murid lelaki dan perempuan yang turut menjadi penyumbang kepada perbezaan pencapaian murid. Murid lelaki lebih cenderung kepada gaya pembelajaran tidak berstruktur iaitu lebih cenderung kepada visual, taktual dan kinestatik serta memerlukan pergerakan dalam suasana tidak formal berbanding murid perempuan. Contohnya, murid lelaki lebih suka sesi pembelajaran yang tidak terlalu formal dan membolehkan mereka bergerak. Mereka agak sukar memberi tumpuan dalam satu jangkamasa yang lama untuk mendengar pengajaran guru berbanding murid perempuan.


Selain itu, murid lelaki juga lebih suka kepada visual seperti program komputer yang mempunyai gambar, berwarna dan gambarajah. Kebiasaannya, mereka lebih cepat mengingat melalui apa yang dilihat di televisyen, tayangan gambar atau video. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah, strategi dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran murid lelaki dan perempuan. Mereka perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan murid serta menghapuskan halangan pembelajaran.  

FAKTOR LOKALITI

ASPEK LOKALITI

Lokaliti berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu “locality” atau kata dasarnya “local”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, lokaliti bermaksud kawasan kecil dalam sebuah bandar atau kampong. Maka, lokaliti ini boleh dipecahkan kepada bandar dan luar bandar. Jurang pencapaian pelajar dalam Matematik ini berlaku dari aspek lokaliti berdasarkan faktor penempatan iaitu bandar dan luar bandar. Bandar ialah suatu unit politik dan suatu petempatan, merupakan satu gabungan antara tempat dengan penghuninya serta fungsinya. Manakala luar bandar pula ialah kawasan selain daripada kawasan bandar yang meliputi semua jenis kampung dan penempatan kecil yang kurang daripada 10,000 orang penduduk dan bercirikan kawasan pertanian serta kawasan sumber alam semulajadi.


2.2 Faktor Berlakunya Jurang Lokaliti     

Faktor utama kepada jurang Bandar dan luar Bandar ialah kekurangan kemudahan dalam sekolah iaitu infrastruktur. Sekolah kurang murid (SKM) yang terletak di luar Bandar dan pedalaman khususnya menghadapi kekurangan kemudahan asas dan sumber pendidikan. Terdapat banyak kajian menunjukkan jurang yang wujud dalam pencapaian luar Bandar dan Bandar dipengaruhi oleh faktor-faktor kemudahan asas, buku-buku rujukan, sumber manusia dan juga persekitaran.

Infrastruktur atau kemudahan sekolah merupakan sesuatu yang sangat penting dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran pelajar agar dapat memupuk pemikiran kreatif dan kritis. Ini kerana infrastruktur berperanan sebagai pemudahcara kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pendidikan Matematik, kemudahan infrastruktur adalah sangat penting misalnya pusat sumber, bahan-bahan rujukan, bilik Matematik, makmal komputer dan alat bantu mengajar berkaitan subjek Matematik. Justeru itu, pembelajaran tanpa bahan bantu mengajar yang mencukupi menghalang guru memberi pendidikan yang bermutu kepada murid. Ini akan menyebabkan peningkatan dalam pelajaran tidak mungkin akan berlaku dan seterusnya mewujudkan jurang pencapaian.
           
Namun begitu, masalah infrastruktur yang diutarakan bukanlah bermaksud tiada infrastruktur langsung di sekolah-sekolah luar bandar. Kebanyakan sekolah luar Bandar telah disediakan infrastruktur seperti makmal komputer oleh kementerian. Kemudahan di luar Bandar walau bagaimanapun sangat kurang terutama dalam bahagian sumber manusia, peralatan dan bahan serta buku rujukan. Bilangan komputer yang terhad dan kekurangan kepakaran untuk mengendalikan komputer mendorong kepada kerosakan komputer itu sendiri. Hal ini menyebabkan komputer yang disediakan tidak dapat berfungsi lagi. Bagi murid-murid luar bandar, kemudahan komputer ini membantu murid-murid ini untuk mencari atau menambahkan lagi pengetahuan terutama dalam bidang Matematik memandangkan mereka mempunyai akses yang sangat terhad di luar bandar.

Selain itu, kemudahan bahan-bahan rujukan di pusat sumber sekolah luar bandar seperti SKM adalah sangat terhad. Ini menyebabkan murid-murid tidak dapat mencari sumber rujukan lain selain daripada guru. Bahan bantu mengajar untuk guru seperti glob, bentuk-bentuk 3D yang berkaitan dengan Matematik juga dikatakan kurang terdapat di sekolah-sekolah luar bandar. Hal ini kerana bahan-bahan BBM dalam bilik Matematik yang tidak lengkap menyukarkan guru-guru Matematik untuk meningkatkan pemahaman konsep pelajar terhadap subjek Matematik.

Peratusan guru yang mengajar di luar bidang pada masa kini amat membimbangkan. Sebagai contoh, guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang Sains tetapi mengajar mata pelajaran Matematik kerana kekurangan guru Matematik di sekolah tersebut. Perkara ini menyebabkan guru yang baru ditempatkan untuk mengajar hilang rasa keterujaan untuk mengajar kerana terpaksa mengajar mata pelajaran yang di luar bidang ilmunya. Satu masalah yang akan wujud kesan daripada pengurusan sistem sekolah begini ialah guru tesebut akan mengajar pelajarnya dengan sambil lewa kerana tidak berminat dengan mata pelajaran tersebut. Masalah kekurangan guru ini sering berlaku di sekolah-sekolah luar bandar.

Bilangan murid dalam sesebuah kelas juga memainkan peranan kepada jurang peningkatan pencapaian pendidikan Matematik. Sekolah kurang murid (SKM) ialah sekolah yang biasanya terletak di pedalaman atau kawasan-kawasan terpencil. Biasanya, sekolah-sekolah diluar Bandar terletak jauh antara satu sama lain. Sekolah luar Bandar terletak berdekatan dengan beberapa kawasan penempatan dan tiada sekolah lain terutama sekolah menengah yang terdapat dalam kawasan tersebut. Ini menyebabkan murid-murid hanya tertumpu kepada sekolah itu sahaja. Hal ini akan menyebabkan bilangan murid dalam satu kelas sehinggakan nilai maksimum iaitu 40 orang untuk satu kelas.

Bilangan murid yang terlalu ramai ini menambahkan lagi beban guru yang sedia ada dan menyukarkan guru-guru khususnya untuk membantu serta memastikan setiap daripada murid dalam kelas memahami konsep yang diajar setiap kali proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Jurang pencapaian akan wujud sekiranya tumpuan guru tidak dapat diberikan seratus peratus terhadap murid.

2.3 Usaha Menangani Jurang Lokaliti

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan, penekanan diberikan kepada usaha untuk menangani jurang pencapaian murid Bandar dan luar Bandar. Antara usaha-usaha tersebut ialah:

Program Transformasi Daerah (DTP)
Program ini yang dirintis di Sabah dan Kedah, bertujuan untuk meningkatkan prestasi 
sekolah di samping merapatkan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar 
bandar.Sekolah yang berprestasi rendah telah dibantu oleh SIPartner+ dan SISC+, 
manakala sekolah-sekolah dalam Band 3 hingga 5 diusahakan untuk mencapai prestasi 
yang lebih baik.
  
Meningkatkan kualiti infrastruktur di sekolah-sekolah
KPM telah berjaya membaiki 1,693 buah sekolah yang daif pada tahun 2013. Namun 
begitu, masih banyak lagi sekolah yang berkeadaan daif untuk ditingkatkan kualiti 
infrastruktur khususnya di negeri Sabah dan Sarawak

Meningkatkan kualiti guru
Guru menjadi tumpuan utama dan berperanan menjadi pemimpin dalam bilik darjah. 
Pelbagai bentuk sokongan, bimbingan dan latihan disediakan bagi meningkatkan 
pengetahuan dan kemahiran pengajaran untuk mengatasi jurang pencapaian.

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jurang  memberi maksud sebagai lurah. Jika difikirkan secara logik akal, lurah ini merupakan tempat yang mempunyai curam yang dalam serta memisahkan kawasan. Maksud lain bagi jurang ini berdasarkan Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat pula ialah perbezaan yang memisahkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Jurang pencapaian bermaksud perbezaan keputusan peperiksaan Matematik sama ada peperiksaan PT3 mahupun SPM yang diperolehi oleh pelajar. Pencapaian bermaksud apa yang telah dicapai atau prestasi. Akademik pula berkaitan dengan akademi (pusat pengajian tinggi) dan mengandungi ilmu pengetahuan yang tinggi. Dengan kata yang lain, pencapaian akademik lebih kepada gred yang diperolehi oleh seseorang pelajar dalam peperiksaan yang diduduki. Pencapaian dikatakan sebagai sesuatu yang telah dicapai (dihasilkan atau diperoleh) atau prestasi. Menurut Bhasah Hj. Abu Bakar (2002), Matematik mengandungi unsur-unsur yang utama iaitu simbolnya (seperti nombor, titik garisan, bentuk) dan bahasa Matematik serta prinsip, hukum, teorem dan peraturan-peraturan matematik yang digunakan untuk menjalankan operasinya. Matematik selalunya didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian mengenai corak struktur, perubahan dan ruang, atau dengan kata lain, kajian mengenai nombor dan gambar rajah. Matematik dilihat sebagai lanjutan mudah kepada bahasa perbualan dan penulisan, dengan kosa kata dan tatabahasa yang sangat jelas, untuk menghurai dan mendalami hubungan fizikal dan konsep. Matematik juga adalah badan ilmu berpusat pada konsep-konsep ibarat kuantiti, struktur, ruang, dan perubahan, dan disiplin kajian-kajian ilmiah berkaitan dengannya.


Pencapaian matematik setiap murid adalah berbeza bergantung kepada beberapa faktor. Empat faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pencapaian matematik dikupas dari aspek lokaliti, gender, sosial dan budaya. Keempat-empat faktor ini dilihat menjadi penyumbang utama kepada perbezaan pencapaian murid.