Sunday, December 27, 2015

FAKTOR GENDER

FAKTOR GENDER

Gender merujuk kepada jantina murid iaitu lelaki dan perempuan. Perbezaan pencapaian antara jantina mula diberi perhatian bermula pada 1970-an lagi apabila pencapaian rendah murid perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1990-an apabila pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan.  Jurang perbezaan pencapaian antara murid lelaki dan perempuan berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh.

Keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan 1996 hingga 2007 menunjukkan secara keseluruhannya murid perempuan mempunyai pencapaian lebih baik berbanding murid lelaki dalam hampir semua mata pelajaran bagi peringkat UPSR dan PMR. Bagi SPM, murid perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Paling ketara, jurang perbezaan pencapaian akademik murid lelaki dan perempuan di peringkat persekolahan memberi impak kepada enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia terbukti apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan di IPTA seluruh negara secara umumnya melebihi 70 peratus kebelakangan ini. Prestasi akademik murid lelaki yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menafikan peluang mereka melanjutkan pengajian ke IPTA. Fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

Satu kajian telah dijalankan oleh Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Zalizan Mohd Jelas bersama Nor Aniza Ahmad serta Manisah Mohd Ali mengenai Trend Pencapaian Murid Lelaki. Hasil kajian menunjukkan jenis persekolahan dan gaya pembelajaran antara faktor utama memberi kesan terhadap perbezaan pencapaian di antara jantina.  Beliau dapati murid perempuan mencapai keputusan lebih baik berbanding dengan lelaki di sekolah satu jantina manakala prestasi akademik murid lelaki di sekolah bercampur pula lebih baik daripada sekolah satu jantina.

Dapatan kajian itu turut membuktikan perbezaan ketara gaya pembelajaran antara murid lelaki dan perempuan yang turut menjadi penyumbang kepada perbezaan pencapaian murid. Murid lelaki lebih cenderung kepada gaya pembelajaran tidak berstruktur iaitu lebih cenderung kepada visual, taktual dan kinestatik serta memerlukan pergerakan dalam suasana tidak formal berbanding murid perempuan. Contohnya, murid lelaki lebih suka sesi pembelajaran yang tidak terlalu formal dan membolehkan mereka bergerak. Mereka agak sukar memberi tumpuan dalam satu jangkamasa yang lama untuk mendengar pengajaran guru berbanding murid perempuan.


Selain itu, murid lelaki juga lebih suka kepada visual seperti program komputer yang mempunyai gambar, berwarna dan gambarajah. Kebiasaannya, mereka lebih cepat mengingat melalui apa yang dilihat di televisyen, tayangan gambar atau video. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah, strategi dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran murid lelaki dan perempuan. Mereka perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan murid serta menghapuskan halangan pembelajaran.  

No comments:

Post a Comment