FAKTOR
BUDAYA
Mohd Salleh (1997), menyatakan
bahawa budaya ialah kelakuan manusia berdasarkan kelompok-kelompok tertentu
yang merangkumi dari aspek pemikiran, sikap, kepercayaan dan tindakan kebiasaan
yang mengambarkan cara hidup mereka. Menurut Mok (2002), budaya merupakan apa
yang terkandung dalam diri individu hasil dari pengalaman interaksi sosial
dengan masyarakat sekeliling. Manakala kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat
mendefinisikan budaya sebagai cara berfikir dan kelakuan.
Muhyiddin Yassin (2010)
menagtakan tanpa pemimpin yang mempunyai prestasi tinggi, pelajar tidak akan
cemerlang dan kualiti sekolah akan menurun. Untuk itu, dalam membina
kecemerlangan, pemimpin sekolah mestilah mengenalpasti secara spesifik cabaran
yang perlu ditangani, mempunyai fokus yang jelas mengenai hasil dan prestasi
yang ingin dicapai dan mengamalkan secara berterusan budaya ingin cemerlang.
Menurut Hopkins (2005),
kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang kepada pencapaian
sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan harus
memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak
ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi,
kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang
membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan
penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992;
Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya
boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan
budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999;
Sergiovanni, 2000).
Secara keseluruhan, trend
pencapaian murid mengikut jenis sekolah adalah
positif kerana jurang antara jenis sekolah semakin kecil. Pada peringkat
rendah, sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) masih ketinggalan berbanding sekolah
jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah kebangsaan (SK), kira-kira 4 mata
peratus pada 2011. Walau bagaimanapun, jurang ini berkurangan kepada separuh
dalam tempoh lima tahun yang lepas. Perbezaan prestasi antara SK dengan SJKC
adalah kecil, iaitu 0.3 mata peratus pada 2011.
Sekolah swasta yang menggunakan kurikulum
kebangsaan mewujudkan satu lagi jurang ekuiti kerana mempunyai skor kira-kira
6% lebih tinggi daripada sekolah awam dalam SPM. Sebahagian daripada jurang pencapaian
ini mungkin disebabkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, sementara
sebahagian besarnya disebabkan kecenderungan sekolah menerima murid yang
berkemampuan dari segi ekonomi. Walaupun enrolmen di sekolah swasta yang
menggunakan kurikulum kebangsaan hanya menyumbang 1% daripada jumlah murid pada
masa ini, peratusan enrolmen semakin meningkat kerana peningkatan purata tahap
pendapatan isi rumah.
SJKC
dilhat mempunyai pencapaian yang tinggi dalam mata pelajaran Matematik
berbanding SK dan SJKT. Data berikut
menunjukkan peratus murid lulus dalam peperiksaan UPSR dari tahun 1991 hingga
2001. Sejak tahun 1991, peratus lulus di SJKC melebihi 80 peratus berbanding SK
dan SJKT yang masih belum mencapai 80 peratus lulus sehingga tahun 2001.
Situasi
di atas disokong oleh tesis yang dilakukan oleh Aripin Yuddin (2008) yang
bertajuk Perbandingan Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Dan Sikap
Pengajaran Guru Antara Sekolah Kebangsaan Dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina:
Kajian Kes Di Tawau, Sabah. Dalam tesis ini, kajian dijalankan di 10 buah di
daerah Tawau dengan pembahagian lima buah SK dan lima buah SJKC. Berdasarkan
hasil kajian untuk prestasi UPSR tahun 2003 bagi 10 buah sekolah rendah di
Sabah bagi subjek Matematik adalah seperti berikut:
Selain kepimpinan pentadbiran,
kualiti guru merupakan penentu di peringkat sekolah yang paling penting bagi
keberhasilan murid. Kajian ulung yang
dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan 1990-an menunjukkan
bahawa apabila dua murid berumur lapan tahun dengan prestasi sederhana diajar
oleh guru yang berbeza prestasi – seorang berprestasi tinggi, dan seorang lagi
berprestasi rendah – prestasi pencapaian akademik murid tersebut berbeza
sebanyak lebih daripada 50 poin persentil dalam tempoh tiga tahun. Dapatan yang
sama juga diperoleh dalam kajian yang dijalankan di Dallas dan Boston (Amerika
Syarikat) serta di England.
Pada 2011, Akademi Kepimpinan
Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian PengajianTinggi telah menjalankan kajian
kualitatif tentang pengajaran guru.
Daripada pemerhatian terhadap 125 guru di 41 sekolah di seluruh Malaysia,
didapati hanya 12% daripada pengajaran
disampaikan pada standard yang tinggi, iaitu mengaplikasi banyak amalan terbaik
pedagogi, manakala 38% lagi mencapai standard yang memuaskan. Sebaliknya, 50%
daripada pengajaran yang dicerap dalam kajian ini tidak disampaikan dengan
memuaskan.
Pengajaran tidak melibatkan murid
sepenuhnya apabila guru lebih bergantung pada kaedah syarahan yang pasif dalam
menyampaikan kandungan mata pelajaran. Guru lebih memberikan tumpuan kepada
usaha memastikan murid memahami kandungan asas mata pelajaran bagi tujuan
pentaksiran sumatif daripada menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi. Sebagai
contoh, murid lebih berkemungkinan diuji keupayaan mengingati fakta (70%
daripada semua pemerhatian pengajaran) berbanding menganalisis dan mentafsir
data (18%), atau mensintesis maklumat (15%).
Noor
Erma Binti Abu dan Leong Kwan Eu (2014) menyatakan terdapat hubungan yang jelas
antara aspek pengajaran itu dengan pencapaian Matematik Tambahan murid. Dengan
lain perkataan murid akan berpendapat bahawa kaedah pengajaran guru akan
mempengaruhi secara langsung pencapaian matematik mereka. Kepelbagaian
pengajaran guru dan kaedah pengajaran merupakan beberapa contoh yang berkaitan
dengan pengaruh pengajaran guru.
Lim Chap Sam (2003) dalam Cultural
Differences and Mathematics Learning in Malaysia menggariskan beberapa
pemerhatian PdP di SJKC dan SK. Antaranya aspek penerangan konsep dan kemahiran
dan aktiviti pengukuhan. Di SJKC, 64 peratus daripada proses PdP diperuntukkan
untuk penerangan konsep dan kemahiran berbanding 43 peratus di SK. Kaedah
pengukuhan yang digunakan di SJKC ialah pertandingan kumpulan dan menyelesaikan
masalah di papan hitam. Sebahagian besar murid mengambil bahagian dan
sebahagian lain menyemak jawapan yang diberikan rakan mereka. Berbeza di SK,
murid diberi pengukuhan melalui latihan secara individu dan guru akan berjalan
daripada satu murid ke satu murid lain.
Pengaruh
minat yang tinggi terhadap mata pelajaran tertentu juga mempengaruhi tahap
pencapaian pelajar. Dalam kajian yang sama Quek (2006) juga mendapati bahawa
minat mempunyai pengaruh yang positif kepada pencapaian pelajar dalam mata
pelajaran matematik. Ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan usaha yang
dilakukan oleh pelajar semasa mempelajari mata pelajaran matematik tersebut.
Pelajar yang mempunyai minat yang tinggi akan sentiasa berusaha dan rajin
meningkatkan diri. Dengan erti kata yang lain, kepuasan mereka akan hanya dapat
dicapai apabila mereka mempelajari mata pelajaran matematik dan memahaminya.
Abu Bakar
(1994) pula menyatakan seseorang yang berminat dalam perkara yang dipelajari
lazimnya akan menunjukkan kesungguhan dan pencapaian yang tinggi. Oleh itu
minat perlu ditanamkan dalam diri murid.
Keseronokan belajar akan meningkatkan minat dan ia boleh dipertingkatkan lagi
dengan penyertaan dan dorongan ibubapa, guru, dan rakan-rakan di dalam proses
pembelajaran.
Minat yang
tinggi akan mempengaruhi sikap sesorang terhadap sesuatu. Rahil (1995)
menyatakan sikap ialah sebahagian daripada personaliti individu yang dipengaruhi oleh tingkah laku yang
ada hubungan dengannya. Menurut Azrul (1988), salah satu kejayaan pelajar dalam
bidang pembelajarannya ialah pembentukan sikap belajar, di mana sikap tersebut
mempunyai hubungan yang erat dengan tanggungjawab untuk belajar memahami dan
menyelesaikan tugasan yang diberikan guru. Seseorang murid
yang bertanggungjawab terhadap pelajarannya akan sentiasa
menyiapkan kerja atau tugasan yang diberi oleh guru, sentiasa hadir ke kelas,
bersemangat untuk belajar dan sentiasa berusaha dalam pelajarannya (Kamaruddin,
1997).
Zainudin
Abu Bakar, Meor Ibrahim Kamaruddin dan Tan May Yang (2009) dalam kajian mereka Pengaruh
Sikap, Minat, Pengajaran Guru, Dan Rakan Sebaya Terhadap Pencapaian Matematik
Pelajar mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara minat dan sikap
dengan pencapaian murid dalam
mata pelajaran matematik. Ini menunjukkan bahawa sekiranya minat dan sikap murid
terhadap matematik adalah tinggi maka pencapaian mereka juga akan tinggi.
Begitu juga sebaliknya jika sikap murid
terhadap matematik rendah maka pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut
juga akan rendah.
Kajian
oleh Zulhaimy Ismail (2010) mendapati terdapat perbezaan sikap yang ketara
antara pelajar SMK berdasarkan bangsa. Hasil kajian mendapati pelajar Cina dan
India lebih bersikap positif berbanding dengan pelajar Melayu dan lain-lain
bangsa. Chiam Keng Heng berkata kecerdasan otak (IQ) pelajar Melayu setara
dengan pelajar bangsa lain, namun mereka kurang cemerlang kerana sikap. Sikap
yang akan membezakan pencapaian antara murid.
No comments:
Post a Comment